Home » Muhammad Asyraaf Bin Ibrahim – Ibn Sabil Assistance Scheme
“Sebagai mana kita semua tahu, belajar di luar negara menggunakan banyak wang. Maka apabila saya mendapat tahu bahawa saya terpilih untuk menerima sumbangan ini, saya sangat bersyukur”
Muhammad Asyraaf Bin Ibrahim, 24, memilih untuk menyambung pengajian di timur tengah kerana persekitarannya yang memerlukan untuk sentiasa bertutur dalam Bahasa Arab. Bekas pelajar Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah itu amat teruja untuk mendalami ilmu agama dengan para pensyarah yang mahir dalam pelbagai cabang ilmu agama.
Kini berada di tahun akhir pengajian di Universiti Yarmouk, Asyraaf pada mulanya menyesuaikan diri dengan bergaul bersama penduduk tempatan, sehingga dapat memahami dialek dan budaya mereka.
Antara perkara yang disukai tentang Jordan ialah masyarakatnya yang lebih berlapang dada dalam perbezaan pandangan dan menghormati sesama mereka tanpa merendahkan orang lain.
Beliau, yang amat meminati subjek Hadis dan mengagumi tokoh ilmu Hadis Malaysia; Dr. Ahmad Kamil Jamilin dan Dr. Rozaimi Ramle juga merasakan bahawa belajar di luar negara dapat melatih untuk bersifat lebih terbuka
Berjauhan dari ibunya yang kurang sihat di Singapura juga bukanlah sebab untuk Asyraaf hilang semangat. Beliau berkata: “Sebagai seorang anak, sudah tentu saya rasa risau akan kesihatan ibu saya. Tetapi beliau pasti mahukan yang terbaik untuk saya dan beliaulah yang mendorong saya untuk menyambung pelajaran ke luar negara. Selain itu ia juga pembakar semangat bagi saya untuk melakukan yang terbaik,”.
Muhammad Asyraaf, yang berhasrat ingin menyambung pengajian ke peringkat pascasiswazah jika diberi rezeki dan peluang turut berterima kasih kepada para penyumbang dana ISAS. “Sebagai mana kita semua tahu, belajar di luar negara menggunakan banyak wang. Maka apabila saya mendapat tahu bahawa saya terpilih untuk menerima sumbangan ini, saya sangat bersyukur kerana ia sedikit sebanyak membantu perbelanjaan dan ia juga membuat saya lebih bersemangat untuk menuntut ilmu,”.