Home » Ustazah Lina Sakina Salim – Pakej Rahmah
Beliau turut menyifatkan inisiatif tersebut sebagai suatu usaha terpuji; pengumpulan dana secara crowdfund juga memberikan masyarakat sebuah wadah untuk turut sama membantu para asatizah bebas dan sambilan yang pastinya turut ‘tersekat’ dari segi kewangan terutama ketika pelbagai langkah sekatan diumumkan.
PANDEMIK Covid-19 yang melanda telah menjejas kehidupan ramai seluruh dunia, termasuk para guru yang terpaksa menyesuaikan diri menyiapkan bahan pembelajaran serta mengadakan kelas secara dalam talian. Ustazah Lina Sakina Salim juga tidak terkecuali.
Selain cara penyampaian kelas, pendapatannya turut terjejas apabila beliau terpaksa melepaskan beberapa kelas persendirian dan di sebuah masjid tempatan apabila antara pelajarnya yang lebih berusia lebih selesa kelas diadakan secara fizikal. Namun permintaan tersebut tidak dapat ditunaikan oleh Ustazah Lina Sakina, yang menetap di seberang tambak bersama suaminya yang berwarganegara Malaysia dan dua orang anaknya.
Manakala beliau memegang kerakyatan Singapura dan mempunyai sijil Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS), yang melayakkannya untuk mengajar kelas-kelas agama di sini. Sebelum Koswe ditutup, Ustazah Lina Sakina akan menetap selang 2 minggu di Singapura dan Malaysia. Semasa sekatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan di Malaysia beliau sedang berada di sana, dan masih belum dapat bertemu keluarga di Singapura hingga ke hari ini.
Ketika Pakej Rahmah dilancarkan pada tahun lepas, Pergas menyasarkan asatizah bebas dan sambilan seperti Ustazah Lina Sakina untuk disokong, yang mana pendapatan mereka terjejas akibat dari pembatalan kelas dan sebagainya.
Keadaan beliau yang sedemikian secara tidak langsung melayakkannya untuk menerima Pakej tersebut, yang dilancarkan Pergas pada Mac tahun lalu dan bertujuan untuk terus menjaga kebajikan asatizah tempatan terutama dalam keadaan krisis dan ketidaktentuan di tengah-tengah pandemik.
Beliau mendapat tahu tentang GP menerusi media sosial dan juga teman-teman asatizah yang lain. Walaupun jumlah yang ditawarkan mungkin tidak sebanyak, namun Ustazah Lina Sakina amat bersyukur atas sokongan kewangan selama 6 bulan tersebut.
Beliau turut menyifatkan inisiatif tersebut sebagai suatu usaha terpuji; pengumpulan dana secara crowdfund juga memberikan masyarakat sebuah wadah untuk turut sama membantu para asatizah bebas dan sambilan yang pastinya turut ‘tersekat’ dari segi kewangan terutama ketika pelbagai langkah sekatan diumumkan.
Bagi Ustazah Lina Sakina, pendapatan mereka sekeluarga mengalami kekurangan hampir 40 peratus. Sebagai pekerja sendiri, pendapatan suaminya telah terjejas sejak bermulanya PKP, dan pendapatan beliau menerusi kelas-kelas dalam talian menjadi sumber pendapatan utama mereka sekeluarga.
Kini, beliau mengajar program aLIVE; sebuah program pendidikan Islam oleh MUIS di Masjid Al-Ansar, Darul Ghufran, dan Al-Mawaddah, yang menawarkan mod pembelajaran dalam talian sepenuhnya.
Selain daripada itu, beliau turut mendapat tawaran mengajar kelas Al-Quran dari Masjid Yusof Ishak secara dalam talian.
Namun begitu, Ustazah Lina Sakina menggambarkan cabaran utama menjalankan kelas secara dalam talian ialah kesukaran dan keterbatasan dari segi interaksi dan komunikasi dengan para pelajar.
Menurutnya, sukar untuk mendapatkan penyertaan dalam kelas dari para pelajar. Tidak ramai pelajar terutamanya golongan remaja yang ingin membuka kamera ketika kelas berlangsung, atau hanya membuka ketika sesi perbincangan berkumpulan.
Para ibubapa juga mempunyai reaksi berbeza dengan pembelajaran secara dalam talian. Ada yang mengeluh anak mereka tidak dapat memberikan sepenuh perhatian, sebahagian lain pula merasakan ianya lebih baik kerana tidak perlu tergesa-gesa ke masjid.
Walaupun menghadapai berbagai jenis cabaran, beliau tetap berazam untuk terus mengajar demi minatnya yang mendalam dan juga gigih berusaha untuk memberikan yang terbaik buat kededua orang anaknya. Anak sulungnya yang berusia lima tahun mempunyai autisme dan sebahagian pendapatan Ustazah Lina Sakina disalurkan kepada pembiayaan yuran sekolahnya yang agak tinggi.
Menurut beliau lagi, antara kemahiran yang diperlukan untuk mengajar secara dalam talian ialah untuk menjadikan kelas tersebut menarik bagi para pelajar.
Seperti di dalam kelas aLIVE contohnya, keprihatinan utama bagi Ustazah Lina Sakina ialah sama ada para pelajar dapat menumpukan perhatian sepenuhnya sepanjang kelas melalui skrin. Walaupun pada zahirnya mereka hadir, beliau khuatir jika waktu tersebut digunakan para pelajarnya untuk membuat tugasan lain dan tidak memberikan fokus pada kelas.
Oleh yang demikian, beliau berharap IECP sedia ada boleh membantu asatizah dengan menyediakan program-program peningkatan dari segi perancangan pelan kelas dan menjadikan pembelajaran lebih mesra teknologi dan bukan pembelajaran sehala seperti di dalam kelas-kelas fizikal.
Untuk merealisasikan aspirasi tersebut, Pergas telah melancarkan Pakej Rahmah Khas – Dana Keupayaan IECP, sebuah inisiatif terbaru susulan dari Pakej Rahmah.
Dana tersebut dilancarkan dengan tujuan untuk terus menyokong dan memampankan IECP sedia ada, agar ruang pekerjaan bagi para asatizah bebas dan sambilan terus terjamin dan bahkan diperluaskan walaupun dalam suasana ekonomi serba tidak menentu.
Antara lain, Dana Keupayaan ini menyediakan khidmat perundingan digital percuma, seperti pembelajaran dalam talian, pemasaran serta penghasilan bahan digital, dan sokongan kewangan kepada IECP untuk membantu mereka mengekalkan tenaga pengajar.
Pergas menyasarkan pengumpulan dana sebanyak $700,000 melalui usaha crowdfunding, di mana kesemua hasil kutipan akan disalurkan kepada inisiatif ini.
Sumbang ke Pakej Rahmah Khas sekarang di https://www.pergas.org.sg/special-gracious-package-crowdfunding/.